Sunday, January 30, 2011

Saat Rindu Berbisik


Selepas pulang dari kerja, Nurul cepat-cepat mempersiap diri lalu ke dapur untuk menyediakan makanan sebelum suaminya pulang dari kerja. Ikan bawal masak merah kegemaran suaminya bakal terhidang.
15 minit kemudian pintu dibuka dari luar. Nurul berlari-lari anak menuju ke pintu dan menyambut kepulangan suaminya dengan salaman dan senyuman yang paling manis.
“Abang dah balik? Rindu sayang tak? Hehe...
”Haris tersenyum mesra sambil mencium ubun-ubun Nurul.“Mestilah abang rindu isteri abang...” Jawapan itu cukup untuk membuatkan Nurul berasa sangat bahagia.
Begitulah rutin harian mereka semenjak empat tahun lebih mereka mendirikan rumahtangga. Tanpa rasa jemu, tanpa rasa kekurangan kasih sayang walau sedikit pun. Walaupun mereka masih belum mempunyai cahaya mata, namun mereka tidak pernah berasa perkahwinan mereka kosong. Sudah banyak kali mereka berusaha, tetapi mungkin kerana rezeki masih belum berpihak kepada mereka berdua.

“Ris…aku tengok kau ni dah dekat lima tahun kahwin tapi masih takde anak lagi. Bila kau nk dapat gelaran ayah ni?”…Haris cuma mengerutkan keningnya.
”Aku bukan tak usaha Man, tapi tak ada rezeki kami lagi. Aku dah check kat hospital, doktor kata kami tak ada masalah tetapi rahim Nurul tak kuat untuk mengandung, mungkin sebab tu kami belum dapat anak lagi. InsyaAllah, kalau ada rezeki ada la, aku akan usaha lagi. Semua rezekikan daripada Allah...”,Haris menjawab panjang.
“Tapi Ris, sampai bila? Aku rasa tak ada salahnya kau cuba dengan org lain, bukannya kau tak mmpu kahwin lain. Kau ada pangkat, gaji besar...Lagipun Suri tu, aku tengok macam sesuai sangatlah dengan kau...”, Norman mengusulkan cadangannya.
Cuti sekolah menjelang tiba. Seperti biasa Haris dan Nurul akan pulang ke kampung untuk melawat orang tua Haris. Nurul pula merupakan seorang anak yatim piatu sejak dia kecil lagi. Seperti biasa, buah tangan untuk mentua tidak pernah dilupakan Nurul.
Sampai sahaja di rumah Haris, kedua-dua mertua Nurul menyambut kepulangan mereka seperti kebiasaannya. Tiba-tiba ibu mertuanya bertanyakan soalan yang selama ini memang sering meniti di bibir ibu mertuanya itu. ”Hai Nurul..tak besar-besar lagi perut tu? Bila nak ada isi?”, ibu mertuanya tersenyum sinis menantikan jawapan daripada Nurul. Nurul hanya tersenyum, walaupun hatinya berasa sangat sedih.
“Tak ada rezki lagi mak...”, jawabnya pendek. Nurul terus ke dapur menyiapkan makanan tengah hari kegemaran mentuanya memandangkan hari sudah pun lewat petang.
Di ruang tamu, ibu dan ayah Haris merenung Haris dengan penuh harapan. ”Ris, mak bukan nak paksa kamu, tapi mak dan ayah dah tua nak, kamulah satu-satunya anak kami. Kalau boleh mak dan ayah ingin menimang cucu sebelum kami menutup mata...”, ibu Haris memulakan bicara apabila kelibat Nurul mula menghilang ke dapur.
Haris mengeluh panjang. ”Kami dah cuba mak, tapi tak ada rezeki lagi...”, jawab Haris. “Mak tahu Ris…Nurul memang menantu yang baik, lemah lembut, sopan santun, rajin, dan mak tahu kamu sayangkan dia. Tapi mak harap sangat dapat tengok zuriat kamu sebelum mak dan ayah menutup mata. Kamu cubalah nasib dengan orang lain pula, mungkin dapat siapa tahu…”, ibunya memberikan cadangan. “Tengoklah macam mana mak…”, Haris menjawab dengan acuh tidak acuh.
Semenjak pulang dari kampung, fikiran Haris bercelaru. Banyak perkara yang bermain dalam fikirannya yang menyebabkan perasaan serba salah menguasai diri. Kata-kata sahabatnya dan ibunya mula terngiang-ngiang di telinga.
Nurul mula melihat perubahan pada diri suaminya. Haris mula menjauhkan diri daripadanya. Tiada lagi gurau senda mahupun kata-kata romantis yang meniti di bibir haris setiap hari seperti hari-hari sebelum ini. Haris juga sudah mula pulang lewat malam dan jarang bercakap dengannya. Nurul kian merindui suaminya yang dahulu.
Perasaan sedihnya disimpan jauh di sudut hati. Tanggungjawab sebagai seorang isteri tetap dilaksanakan seperti biasa. Nurul tidak jemu menyedikan makanan buat suaminya walaupun terkadang makanan itu langsung tidak dijamah oleh Haris. Hatinya kecilnya sering berbisik,“Abang...Nurul betul-betul rindukan abang...”, sambil matanya bergenang air mata kesayuan.
Di pejabat pula, Haris kini semakin rapat dengan Suri. Mereka mula keluar makan bersama dan kelihatan sentiasa berdua. Haris mula berniat didalam hatinya untuk memperisterikan Suri.
Suatu hari, ketika sedang mengemas ruang tamu, Nurul berasa pening dan hampir pitam. Badannya berasa sakit-sakit dan seperti hendak demam, Dia menunggu haris pulang untuk menghantarnya ke klinik setelah menelefon Haris untuk memberitahu tentang keadaannya.
Ketika Haris pulang, Nurul terus menyatakan hasratnya untuk ke klinik tetapi jawapan yang diterimanya cukup hambar. Haris menyuruhnya ke klinik sendiri atas alasan dia perlu menghadiri mesyuarat penting dengan majikannya. Namun sebaliknya, Haris sebenarnya sudah berjanji dengan Suri untuk keluar makan tengah hari bersama pada hari itu.
Dengan penuh kesedihan Nurul ke klinik dengan menaiki teksi kerana tidak tahan akan kesakitan yang dirasainya, kepalanya berdenyut-denyut. Selesai pemeriksaan doktor, Nurul berasa seperti tidak percaya apabila doktor mengesahkan bahawa dia telah mengandung dua bulan. Lantas dia memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga. Dia berasa tidak sabar untuk memberitahu Haris tentang berita gembira tersebut.
Nurul menunggu kepulangan Haris dengan penuh sabar, hatinya melonjak kegembiraan. Wajahnya menguntumkan seulas senyuman yang amat manis. Namun ternyata Haris tidak pulang ke rumah pada hari itu. Dia menanti penuh hampa.
Pagi besoknya, Nurul terdengar kereta Haris masuk ke perkarangan rumah. Dengan cepat dia bangun dari pembaringan dan keluar ke ruang tamu.
”Abang, abang ke mana? Kenapa tak balik malam tadi? Nurul rasa risau sangat...”, tanya Nurul sambil memegang erat jari-jemari suaminya itu.
”Tidur rumah Norman...”, jawab haris ringkas.
“Abang, sayang nak tanya sikit boleh?”. Haris mengangguk perlahan.
“Kenapa abang dah lain sekarang? Abang dah tak pedulikan sayang lagi…”, ada tangisan dalam kata-katanya tika itu.
Haris yang ketika itu masih dalam keadaan mengantuk mula berasa marah apabila mendengar pertanyaan Nurul.
“Kau nak tahu kenapa? Sebab kau tak dapat bagi aku anak, aku perlukan zuriat, aku nak jadi seorang ayah. Orang tua aku hendakkan cucu. Untuk pengetahuan kau, aku akan berkahwin lagi untuk dapatkan anak! Faham?”, Haris menjawab lantang dan kemudian bergegas ke bilik untuk mendapatkan beg pakaiannya dan mengambil beberapa helai baju untuk keluar dari rumah.
Bagaikan halilintar membelah bumi, Nurul terkedu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Haris. Ternyata berita gembira yang ingin disampaikan disambut dengan berita duka daripada suaminya sendiri. Haris bergegas keluar tanpa sempat mendengar kata-kata dari Nurul. Nurul yang terpana dengan kejadian tersebut berasa amat terkejut, dia jatuh terjelepok dan tidak sedarkan diri.
Di hospital, Nurul mula sedarkan diri selepas pengsan selama tiga jam. Haris yang berada disisinya dengan erat memegang tangannya.
“Sayang, maafkan abang…Abang tak tahu sayang mengandung.” Haris dengan penuh kesal mengucup tangan Nurul. Dia tahu sikapnya kebelakangan ini benar-benar mengguris perasaan Nurul. Haris benar-benar menyesal.
Nurul bernasib baik kerana jiran mereka yang ingin menziarahinya ketika itu terlihat dia pengsan di ruang tamu. Jika tidak, Haris tentu menyesal sampai bila-bila sekiranya apa-apa berlaku pada Nurul dan anak dalam kandungannya. Hati kecil Haris mengutuk dirinya sendiri kerana cuba menduakan Nurul. Betapa besar pengorbanan Nurul selama ini yang setia menjadi isterinya. Haris insaf.
Doktor menasihatkan mereka agar menjaga kandungan Nurul dengan lebih berhati-hati memandangkan rahimnya tidak cukup kuat dan anak yang dikandung Nurul adalah anak sulung. Haris membawa Nurul ke hospital sebanyak dua minggu sekali untuk pemeriksaan tekanan darah dan kandungannya.
Sembilan bulan ditempuhi Nurul dengan penuh kesabaran. Dalam diam, Nurul menyimpan rahsia yang amat besar tanpa pgetahuan Haris. Pada awal kandungannya, doktor sebenarnya tidak menggalakkan Nurul untuk melahirkan anak itu lantaran risiko yang amat tinggi bakal dihadapi. Namun Nurul tetap berkeras dan nekad melahirkan zuriat suaminya dan meminta doktor untuk merahsiakan dari Haris semata-mata untuk membahagiakan suaminya.
Di saat nurul berjuang untuk melahirkan anaknya, Haris menerima sepucuk surat yang ditulis oleh nurul sepanjang mengandungkan zuriatnya.
Abang…pada saat kita bahagia bersama, sayang adalah insan yang paling bertuah di dunia ini kerana dapat menjadi isteri abang. Namun, sejak abang mula menjau, sayang terlalu ingin menyatakan sesuatu yang sudah lama sayang pendamkan selama ini. Abang...sayang benar-benar rindukan abang. Sayang rindukan abang yang amat sangat. Andai sayang terkorban, abang jagalah anak kita dengan penuh kasih sayang seperti mana abang menjaga sayang selama ini. Abang, ampunkan segala dosa sayang dan halalkan makan minum sayang...Yang merinduimu, Nurul.
Air mata Haris bercucuran membasahi pipi saat dia membaca warkah tersebut dan ketika doktor datang memberitahunya bahawa Nurul sanggup berkorban untuk melahirkan anak itu walaupun dia tahu risikonya amat tinggi.
“Encik Haris, sebenarnya Puan Nurul sudah diberi pilihan sama ada ingin melahirkan anak ini atau tidak kerana mungkin salah satu nyawa akan terkorban. Tetapi Puan Nurul menyuruh kami agar mnyelamatkan anaknya berbanding drinya kerana katanya Encik Haris sangat-sangat inginkan anak ini.”
Haris terkedu mendengar penjelasan daripada doktor sebentar tadi, lidahnya kelu. Hatinya menangis.
“Ya Allah, selamatkan isteriku..aku tidak mahu kehilangannya ya Allah…Selamatkan jua zuriat kami ya Allah, Sesungguhnya Engkau sebaik-baik Pemberi...amin.”
Hampir enam jam Nurul berada di bilik pembedahan, akhirnya doktor keluar seraya mengucapkan kesyukuran dan tahniah kepada Haris.
”Tahniah Encik Haris, anak encik selamat, anak lelaki.”
“Alhamdulillah...”, Haris mengucap syukur.
“Isteri saya macam mana doktor?”
“Ermm..Ya, isteri encik juga selamat, syukur kepada Allah.”
Haris tunduk, ada butir-butir suci menitis keluar dari kelopak matanya, lafaz kesyukuran di ucapkan tanpa henti dalam hatinya, Dia terus berlari kearah isterinya.
Nurul yang masih lemah memandang Haris.
“Sayang...andai diberi pilihan, abang akan memilih untuk selamatkan sayang. Anak kita boleh usahakan lagi, tapi isteri seperti sayang, abang tak akan dapat cari pengganti sampai bila-bila, sayang terlalu istimewa. Terima kasih sayang...Abang cintakan sayang…”Haris mengucup ubun-ubun isterinya sambil memegang erat tangan Nurul.
“Sayang juga cintakan abang. Terima kasih abang…”, Nurul menjawab kemudian terlena kerana berasa terlalu penat.
Hargailah Pengorbanan Seorang Isteri....

Permata Buat Suamiku


"Sudah lima tahun Man, lima tahun! Sudah lama benar kau kahwin dengan perempuan itu! Jangankan tiga, seorang cucu pun Mak tak dapat lagi!"
Datin Syuhada sudah tidak dapat bersabar lagi. Sikap acuh tidak acuh Azman benar-benar membuatkan dia naik darah. Ini bukan kali pertama Datin Syuhada naik angin. Sudah hampir seratus kali agaknya Azman mendengar bebelan yang sama setiap kali dia datang menemui ibunya itu.
"Dulu Mak dah cakap. Jangan kahwin dengan perempuan itu. Dia tu mandul! Tengok muka dia pun Mak dah tahu dia tu tak sihat. Tapi kau tak pernah nak dengar cakap Mak. Kau kahwin juga dengan dia. Sekarang kau terimalah padah akibat ingkar kata-kata Mak. Orang lain baru dua tahun kahwin pun dah ada dua orang anak, engkau ni dah lima tahun kahwin, seorang anak pun tak ada!"
Datin Syuhada terus-menerus melayan amarahnya. Betapa emosinya pada waktu itu dikuasai oleh syaitan laknatullah yang ligat menghembuskan hasutan dan kata-kata keji ke dalam hati wanita berusia separuh abad itu.
" Rezeki tu di tangan Allah Mak. Mungkin belum sampai waktunya lagi. Kalau Man sebagai suami boleh bersabar, mengapa Mak tak boleh? Susah sangat ke, Mak?", sedih Azman apabila terpaksa bertelagah dengan ibunya setiap kali mereka bersua muka.
Bukan senang untuknya mencuri masa bertemu dengan ibunya. Namun, setiap kali ada peluang bertemu, pasti isu zuriat yang akan dibangkitkan. Kadangkala Azman terfikir, andai saja ayahnya masih ada, pasti ibunya tidak akan bersikap sebegitu.
Pemergian Datuk Rosmi telah membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Terutama sekali terhadap ibunya. Ibunya kini bukan lagi seorang insan penyayang, bukan lagi seorang insan yang lembut dan sopan, juga bukan lagi seorang insan yang halus bicaranya.
Secara jujurnya, perubahan pada sikap Datin Syuhada benar-benar menyiksa batin Azman. Ayahnya pergi dengan membawa bersama sinar cahaya yang dahulunya menjadi penerang di kala siang, pelita di kala kelam.
Kewibawaan dan kehebatan Datuk Rosmi sebagai nakhoda kepada bahtera yang mereka layarkan ke lautan Ilahi benar-benar menjadikan beliau sanjungan isteri serta waris tunggalnya. Azman, satu-satunya permata yang mampu diberikan oleh Datin Syuhada dibentuk dan diasuh dengan penuh kasih sayang serta perhatian walaupun amat sibuk dengan pelbagai urusan di luar kota.
Datuk Rosmi dan Datin Syuhada sentiasa memastikan waris tunggal mereka mendapat segala yang diperlukan bagi mendepani dunia yang penuh fatamorgana yang mampu menyesatkan jiwa-jiwa yang kosong. Sejak kecil lagi, Azman dibentengi dengan ilmu serta pengetahuan dalam bidang agama. Tidak lupa juga pengetahuan duniawi yang membantunya berjaya di dunia ini.
Sungguh kiamat itu benar, dan atas kepercayaan itulah Datuk Rosmi tidak pernah leka dalam memastikan ahli keluarganya bersedia untuk menerima kedatangan hari itu nanti. Dia tidak mahu keluarganya tergolong dalam kalangan manusia-manusia yang kerugian.
Namun, sejak beliau pergi menyahut panggilan Ilahi, segala-galanya telah berubah. Rumah besar yang dahulunya terang menjadi gelap-gelita. Sunyi dan sepi tanpa cahaya Ilahi. Tidak ada lagi kehangatan serta kasih sayang di dalam rumah itu. Pernah suatu ketika dahulu Azman tersesat dari jalan yang dahulunya pernah dia lalui bersama arwah ayah tercinta. Imannya cukup rapuh ketika itu. Serapuh besi berkarat yang yang boleh hancur dengan hanya sekali jentik sahaja. Namun, cepat-cepat dia tersedar lalu membetulkan landasannya.
Alhamdulillah...Kehadiran Syakila ke dalam hidupnya memudahkan lagi usahanya kembali ke jalan Allah. Syakila, sekuntum bunga indah yang dia temui di rumah Allah terus di angkat menjadi zaujahnya sebaik sahaja dia mengenalinya melalui seorang Ustaz.
Syakila hidup sebatang kara. Hidupnya di bumi ini menumpang kasih Allah yang disalurkan melalui seorang insan mulia seperti Ustaz Hasan. Dengan keyakinan bahawa Azman akan membimbing Syakila ke jalan syurga, Ustaz Hasan dengan rela hatinya menyerahkan Syakila kepada Azman. Tidak ada sedikit pun keraguan di hatinya terhadap jejaka soleh seperti Azman. Doanya agar mereka berjaya di akhirat kelak.
***********
" Ila, Mak dah tak boleh sabar lagi! Mak dah ada calon untuk Azman. Dah lima tahun kau kahwin dengan Azman, tapi kau tak mampu nak berikan Mak walau seorang cucu pun. Mak dah tak tahan bermenantukan perempuan cacat macam kau. Sekarang kau pilih sendiri. Sama ada kau beri Mak cucu dalam masa tiga bulan ni, atau kau izinkan Azman kahwin lagi. Ingat, Ila! Azman tu satu-satunya anak Mak. Mak tak boleh terus berdiam diri andai keturunan Mak dibiarkan tak bersambung begini. Lagi satu! Kalau sampai Man tahu hal ni, kau tahulah nasib kau nanti!”
Panggilan tersebut hampir saja membuatkan Syakila rebah menyembah bumi. Berkecamuk hati wanitanya apabila kata-kata keras seperti itu dituturkan kepadanya. Hati wanita mana tidak sedih jika menerima panggilan seperti itu.
"Astarghfirullahal ‘azim..." Beristirghfar panjang Syakila sebaik saja menerima amaran keras tersebut. Sungguh tidak dia sangka, ibu mertua yang selama ini disanjungnya bagai ibu kandung sendiri sanggup menuturkan kata-kata tersebut terhadapnya. Syakila sedar siapa dirinya. Wanita yang serba kekurangn, wanita yang tidak sempurna.
Bukan dia tidak pernah berusaha. Sudah bermacam -macam ikhtiarnya dengan Azman. Namun, tidak satu pun usahanya menunjukkan hasil yang diinginkan. Syakila redha, mungkin Allah masih ingin mengujinya. Ujian ini adalah suatu tarbiah buatnya. Bibirnya tidak pernah putus berdoa kepada Allah. Doanya agar suatu hari nanti Allah akan mengurniakannya seorang permata yang bakal mendoakan dia dan suaminya di saat mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.
Nabi Ibrahim a.s. yang mendapat tempat khusus di sisi Allah tidak pernah mengeluh walaupun dikurniakan dengan cahaya mata hanya ketika usianya sudah lanjut. Inikan pula dirinya. Dirinya yang hanya merupakan makhluk yang lemah lagi hina di sisi Allah. Syakila yakin bahawa ujian yang didatangkan kepadanya tidak sia-sia. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Sama seperti pelangi indah yang muncul sesudah hujan di siang hari.
***********
Syakila menyambut kepulangan cinta hatinya dengan senyuman yang paling manis. Dia tidak mahu bermuram durja apabila sedang bersama suaminya. Syakila cuba memaniskan wajahnya semanis yang mungkin. Walaupun begitu, ada kesedihan di mata beningnya yang terkesan oleh Azman. Segera Azman mencari puncanya.
" Ila, kenapa ni? Kenapa isteri Abang sedih hari ni? Patutlah air panas yang Abang minum ni pun terasa sejuk je. Rupa-rupanya, ada orang tengah berduka ni....", lembut sekali bicara Azman terhadap ratunya itu. Diselitkan sedikit jenaka dalam kata-katanya tadi. Dia cuba memancing tawa Syakila.
Syakila menjadi sedikit gugup. Sungguh dia gagal menjadiaktres terbaik setiap kali berdepan dengan suami tercinta. Walaupun begitu, dia tidak semudah-mudahnya meluahkan segala rasa pahit yang sedari tadi dipendamnya jauh di lubuk hati yang paling dalam. Biarlah hempedu itu dia telan sendiri. Dengan suara yang manja, Syakila membalas gurauan suaminya.
" Abang tu la... Keluar tak ajak Ila pun. Lepas tu, tinggalkan Ila lama-lama kat sini. Sorang-sorang pula tu. Ila rindu tau..."
Azman ketawa besar. Sikap manja yang ditunjukkan oleh isterinya yang terkadang tegas itu benar-benar mencuit hatinya. Dia merangkul erat permaisurinya itu. Sungguh dia kasih akannya. Tidak pernah sekali pun dia menyesali pernikahannya dengan Syakila. Kehadiran sekuntum bunga indah ke dalam hidupnya sudah cukup untuk membuatkan Azman mengucap syukur kepada Allah di setiap hembusan nafasnya. Mereka bahagia walaupun setelah lima tahun, rumah itu masih belum dihiasi dengan tawa riang anak kecil.
*********
Lena Syakila malam itu ditemani air mata duka. Ditatapnya puas-puas wajah tenang yang sedang lena diulit mimpi di sebelahnya. Bila difikirkan semula, ada betulnya juga kata-kata ibu mertuanya tadi petang. Azman perlu meneruskan keturunannya. Syakila mula memikirkan kembali akan keputusan besar yang harus dia hadapi nanti.
Lama dia beristikharah malam itu. Pintanya agar dia diberi kekuatan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang sebaiknya. Kasihnya pada Azman terlalu tinggi. Andai seorang zuriat mampu menyerikan lagi hidup Azman, Syakila rela. Dia rela berkongsi kasih meskipun hatinya bakal terluka. Apa yang penting baginya adalah kebahagiaan Azman.
"Ya Allah... Berikanlah hamba-Mu ini kekuatan dalam mengharungi cabaran dari-Mu...", rintih hati kecil Syakila. Air matanya bercucuran mengenangkan suami yang mungkin akan dikongsikan bersama wanita lain nanti.
Andai saja dia bisa menjadi sekuat Sarah. Sarah, isteri milik Nabi Ibrahim a.s. Wanita mulia yang cukup kuat untuk berkongsi kasih sayang suami tercinta bersama seorang wanita lain bernama Hajar. Wanita mulia yang akhirnya dikurniakan Allah seorang zuriat atas kesabaran serta keteguhannya.
*********
Dua bulan berlalu. Pertemuan Azman dan ibunya tidak lagi diisi pertelingkahan apabila Azman membawa Syakila dengan sebutir permata yang sedang membesar di dalam rahimnya. Sejak hari itu, sikap Datin Syuhada terhadap Syakila berubah serta-merta. Rajin sekali dia menjaga Syakila. Sungguh dia kini kasih pada menantunya itu. Menantu yang dahulu dia caci maki dek kerana kekurangannya sebagai seorang wanita. Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Doa Syakila serta Azman yang bertahun-tahun lamanya termakbul jua.
"Ila, Abang redha Ila sebagai isteri Abang selama ini. Abang halalkan makan minum Ila. Abang ampunkan segala dosa-dosa Ila. Abang tunggu Ila kat sini. Abang tunggu Ila datang denganpermata kita. Abang sayangkan Ila.”
Azman mengucup lembut dahi isterinya yang bakal dibawa masuk ke wad bersalin sebentar sahaja lagi. Syakila tetap tersenyum manis walaupun kesakitan yang dia tanggung hanya Allah sahaja yang tahu.
Tempoh sembilan bulan menunggu kehadiran si permata cukup membahagiakan buat Azman. Kasihnya pada Syakila kian mekar sepanjang tempoh itu. Anak yang mereka gelarkan permata itu seringkali mereka perdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran setiap malam. Sungguh kasihnya mereka kepada zuriat mereka yang bakal lahir itu.
**********
Tiga jam berlalu begitu sahaja. Tangisan bayi perempuan yang memenuhi ruang tersebut cukup menggembirakan Azman. Namun, hatinya tidak keruan kerana tangisan itu tidak datang sendirian. Ada tangisan lain yang mengiringinya. Azman kenal suara itu. Cukup kenal.
Dia segera merempuh ke dalam wad tanpa menghiraukan para jururawat yang sedang bertugas. Dilihatnya Syakila sedang tidur. Dia tersenyum senang. Dihampirinya jasad lemah itu. Dikucupnya dahi Syakila dalam-dalam. Namun, saat dia memberikan kucupan tersebut, dia tidak dapat mengesan hembusan nafas Syakila. Ditatapnya wajah itu puas-puas. Jasad itu sudah kaku. Tidak bergerak lagi.
Azman tersungkur di hadapan jasad kaku tersebut. Sesungguhnya, Syakila telah syahid dalam pertarungan agung itu.